October 16, 2010

CERPEN : AKU, BILL DAN NUR HAKIM


SEJAK dulu lagi, aku memang tidak berminat untuk berkawan dengan bangsa lain. Aku bukan sengaja. Ini sejarah lama aku. Sejarah pahit yang terpaksa ditelan sehingga menyebabkan aku dan keluarga aku berpindah ke sini. Kota Tinggi. Tempat baru ini mudah untuk aku sesuaikan diri. Aku ada tempat baru, sekolah baru dan kawan baru. Jika di tempat lama, aku tidak ramai kawan. Di
kawasan perumahan aku hanya terdapat  tiga buah keluarga Melayu, yang lain bangsa Cina dan India. Kebanyakan orang Cina ini bergaul sesama mereka sahaja.

            “ Seng, mari kita pergi main bola petang ini sama-sama.” 
          “ Boleh, tapi aku kena tanya mak aku dulu. Nanti kalau mak aku bagi, aku telefon kamu, ya.”  

           Ah Seng merupakan jiran aku. Dia fasih berbahasa Melayu walaupun ada pelatnya. Kebiasaannya, aku bersama rakan-rakanku  yang lain akan bermain bola di padang awam setiap petang. Cuma kali ini aku mahu mengajak Ah Seng untuk menyertai kami. Deringan telefon mengejutkan aku daripada khayalan. Barangkali Ah Seng.

           " Macam mana? Mak kamu bagi pergi main bola petang ini, tak?”

            “ Maaflah.. mak aku bagi tapi ayah aku tak bagilah. Dia kata jangan campur dengan orang Melayu. Katanya, orang Melayu tidak boleh dipercayai.” 
             
              Aku separuh terkejut. Tidak sangka uncle Lim berkata sedemikian. Mana tidaknya, selama ini kami berkawan macam biasa sahaja. Tiba-tiba uncle Lim melarang anaknya berkawan dengan aku. 

            “ Kenapa ayah kamu kata begitu? Habis tu, kamu tak mahu kawan dengan aku lagilah?”

            “ Entahlah, Amir. Kamu jangan kecil hati, ya? Aku cuma ikut cakap ayah aku sahaja. Tapi, aku tetap akan berkawan sama kamu.”. Suara Ah Seng separuh memujuk. Mengapa masih wujud jiran yang bersikap seperti ini?

           Kenapa orang Cina tidak mahu bergaul dengan orang Melayu? Kerajaan berusaha menyatupadukan rakyat di Malaysia. Macam-macam usaha yang dilakukan. Tapi, perpaduan sebenarnya boleh wujud dengan adanya keinginan diri sendiri.

Gagang telefonku letak. Aku menemui ibuku dengan pelbagai persoalan yang bermain di fikiran. Aku menceritakan semula kepada ibuku tentang apa yang Ah Seng katakan tadi.
 

            “ Orang Cina tidak suka bergaul dengan orang Melayu…mungkin sebab mereka rasa mereka boleh berjaya dengan bangsa sendiri. Tanpa bantuan bangsa lain. Itu Amir kena faham. Lagipun, ayah kamu tidak rapat dengan uncle 
Lim.”

               Ibu menerangkan satu demi satu. Namun persoalan yang bermain di fikiran masih belum terjawab. Aku meminta pendapat ayah pula.

            “ Ayah suka bergaul dengan uncle Lim kamu tu. Ayah tak  ada apa-apa masalah pun. Tapi…uncle Lim tu selalu bermasam muka dengan ayah. Dia pernah cakap yang dia tak suka orang Melayu sebab orang Melayu ni jahat.”
           
“ Tapi bukan semua orang melayu macam tu, kan? Banyak orang, banyak ragam.” Ayahku menganggukkan kepalanya sambil mengusap kepalaku. Bibirnya tersenyum melihat raut mukaku yang kebingungan barangkali.


Kenangan itu selalu bermain di kotak mindaku. Benciku semakin mendalam terhadap kaum Cina setiap kali mengingatkan peristiwa pahit itu.

            “ Kamu orang Melayu, tak payah sibuk-sibuk  pasal kami lah. Kamu orang Melayu penipu! Aku tak percaya sama kamu!"  Marah uncle Lim dalam pelat cinanya.

            “Apa!” Isteri uncle Lim menarik lengan suaminya. Dia cuba mengelakkan pertelingkahan antara dua jiran ini.
           
“ Kamu Anwar, baik kamu pindah dari sini la. Tak payah jadi jiran aku. Berhenti kerja sahajalah. Buang masa aku sajalah. Kamu suka susahkan hidup aku!" Uncle Lim terus memarahi kami sekeluarga hanya kerana kesilapan kecil.

Sebenarnya, semasa bermain bola di halaman rumah, aku secara tidak sengaja menendang bola itu sehigga memasuki kawasan rumah uncle Lim dan menyebabkan salah satu pasu bunganya pecah. Ayah aku berjanji akan menggantikannya dengan yang baru. Tapi uncle Lim terus memarahi kami sekeluarga walaupun sudah berkali-kali ayahku meminta maaf.


            “Apa! Sudah la. Mari masuk, tak mau bising-bising. Anwar sudah minta maaf tu. Nanti dia bayar la. Haiya, orang lain tengok malu ma,” auntie Siew masih menarik lembut tangan uncle Lim mengajak suaminya masuk. Memang betul katanya. Ramai jiran kami yang lain melihat ‘drama’ ini. Namun itu bukanlah sebab untuk aku berpindah.

            “ Anwar, awak didapati telah menyeleweng wang syarikat ini. Hari ini awak siapkan tugas yang masih belum diselesaikan. Esok awak tidak perlu datang. Awak dipecat.”

            “ Tapi tuan, saya tidak buat semua itu. Bukan saya yang buat. Kalau tuan tidak percaya, tuan boleh semak akaun syarikat ini.” Ayahku membela dirinya.

            Dia tahu mungkin  Encik Nasir akan berubah hati. Bukannya Encik Nasir tidak tahu , ayah sudah dua belas tahun bekerja di syarikat itu. Sejak Encik Majid menjadi majikannya sehinggalah Encik Nasir, anak Encik Majid mengambil alih syarikat itu. Ayah sentiasa bersikap jujur dalam menjalankan tugasnya.

            “ Tiada alasan. Awak tetap akan dipecat.”

             Minggu ke sebelas aku di sekolah baru. Ramai juga aku dapat kenalan di sekolah ini berbanding di sekolah lama. Semalam cikgu Siti, guru kelas aku memberitahu bahawa kelas aku akan mendapat seorang pelajar baru. Hai, bertambahlah kenalanku. Rakan sekelas aku semuanya tidak sabar menanti rakan baru. Cikgu Siti tidak juga datang sehinggalah loceng waktu rehat berbunyi, cikgu Siti baru datang ke kelas kami.

              Salam diberi dan semua pelajar berdiri. Salam cikgu Siti dijawab dengan penuh hormat oleh semua pelajar. Aku melihat separuh rakanku tertanya-tanya di mana pelajar baru itu. 

            “ Baik semua pelajar boleh duduk.”

     Suara kerusi yang ditarik membingitkan suasana. Keadaan kembali sunyi sepi setelah semua pelajar duduk. Masing-masing menanti setiap butir kata yang akan diucapkan oleh cikgu Siti.
           
    “ Seperti yang cikgu katakan semalam, hari ini kita ada seorang rakan baru. Silakan masuk Bill.”

       Bill? Namanya seperti bukan orang Melayu. Tapi bangsa lain. Semua pelajar terdiam saat Bill melangkah masuk. Mataku meliar ke sekeliling kelas mencari tempat duduk kosong untuk Bill. Hampa. Tidak ada satu pun tempat kosong melainkan di sebelah tempat duduk aku.

            “ Bill, sila kenalkan diri kamu kepada kawan sekelas kamu.” Bill menganggukkan kepalanya.

            “ Nama saya Bill. Saya berbangsa Cina dan tinggal di perumahan Indah. Saya berharap dapat berkenalan dengan baik bersama kamu semua.”

             Wow! Orang Cina yang fasih berbahasa melayu. Tapi hatiku masih kalau Bill ditempatkan di sebelahku. Sekali lagi semua pelajar menepuk tangan.

            “ Baiklah Bill, terima kasih. Awak boleh bersalaman dengan kawan baru awak dan duduk di sebelah Amir…di belakang sana,” ibu jari cikgu Siti sopan menunjukkan ke arah tempat dudukku. Bill tersenyum kepadaku. Aku tidak memberi respons yang baik. Aku mengalihkan pandanganku ke arah cikgu Siti.

              Akhirnya tiba di tempat aku, Bill menghulurkan tangan kanannya kepadaku. Aku bersahaja bersalaman dengannya tanpa senyuman yang ikhlas.

     Hari-hari berlalu begitu sahaja. Aku tidak bersemangat langsung untuk masuk ke kelas. Apabila terpandang wajah Bill, kisah silam itu pasti bermain-main di mataku.

            “ Amir minggu hadapan kita kena pindah. Ayah sudah dapat kerja baru di Kota Tinggi.”

            “ Ayah, betul ke ayah yang ambil duit syarikat?”

            “ Amir rasa…ayah buat ke tidak?”

            “ Tidak,” jawabku sepatah.

“ Kalau ayah kata ayah yang buat, macam mana?” Ayahku menguji.

  “ Amir tetap tidak percaya. Amir tahu, ayah jujur. Ayahkan selalu pesan kita kena bersikap jujur walau di mana pun kita berada,” aku meyakinkan ayah.

          Ayah mendekatkan diri kepadaku. Kedua-dua tangannya diletakkan di atas bahuku sambil tersenyum.

            “ Terima kasih sebab Amir percayakan ayah. Ayah difitnah, Mir. Tapi ayah tidak tahu siapa yang memfitnah ayah. Tidak mengapalah, kita lupakan sahaja, ya?”

            Arghh!! Geramnya aku. Aku bersama rakan-rakanku, Shazril, Nazri dan Rahmat tidak suka berkawan dengan Bill. Bill terlalu banyak bercakap. Tapi dia bijak orangnya. Sering mendapat markah tertinggi dalam ujian atau peperiksaan.
 

Suatu hari, aku bersama Shazril, Nazri, dan Rahmat merancang untuk mengenakan Bill. Setiap perkara, setiap benda kami suruh Bill lakukan untuk kami. Bill itu lurus orangnya. Sehinggalah dia mengadu yang dia selalu dimarahi oleh ibunya kerana pulang lewat. Kami hanya ketawa sahaja sedangkan Bill dengan memek muka yang menyedihkan. Memang patut pun kena marah.

                Lepas sekolah kami menyuruhnya menyiapkan kerja sekolah kami di hadapan kami. Kadang-kadang kami bawa dia ke shopping mall . Bill akan tolong bawakan barang-barang kami. Mestilah balik lewat. Ada sekali aku melihat raut wajahnya yang kepenatan sehingga aku terpaksa menyuruhnya pulang ke rumah dahulu.

      Aku sebenarnya kasihan tatkala anak mataku terlihat mukanya saat dia dibuli. Tapi bila dikenangkan kenangan itu, hatiku semakin membengkak.

            “Helo, Anwar!”

            “ Eh, Chandran. Kau apa khabar? Macam mana kau 
boleh sampai ke sini?” Uncle Chandran rakan sepejabat ayahku bertandang ke rumah aku.

            “ Tanya oranglah...lagipun kau kan ada saudara di Johor tu. Jadi senanglah aku mahu cari kau.”

     “ Masuk, masuk. Jemputlah duduk. Ini anak kau ke, Chandran? Amboi, sebelum aku pindah perut isteri kau bulat, sekarang sudah meletup tak khabar pada aku. Apahal kau cari aku sampai ke sini? Kenapa tidak telefon sahaja?”

            “ Mana satu kau nak aku jawab dulu ni? Banyak sangat soalan. Kau di sini jadi inspektor Anwar ke?” perli uncle Chandran sambil ketawa.

            “ Aku sebenarnya nak beritahu kau cerita di pejabat lama kau tu. Kau tahu Lim, orang kuat syarikat tu sudah kena pecat.” Uncle Chandran memulakan ceritanya.

            “Ya, ke? Kenapa pula?”

            “ Sebenarnya dia yang fitnah kau.  Dia tuduh kau seleweng duit syarikat. Tapi semua itu terbongkar apabila dia ditangkap ketika menggunakan duit syarikat untuk mengimport dadah secara haram.”

            “ MasyaAllah…Lim mengedar dadah. Tapi macam mana kau pasti itu duit syarikat?” Ayah bertanya kembali.

            “ Lepas kau dipecat, jawatan kau sebagai juruaudit syarikat diambil alih oleh Lim. Apabila diperiksa akaun syarikat semakin berkurangan, bos siasat. Selama ini Lim yang menggunakan duit syarikat.”

             Ayahku melopong. Terkejut barangkali. Ibuku juga berkeadaan sedemikian. Aku hanya memasang telinga melalui bilik yang berhampiran dengan ruang tamu. Fikiranku mula mengenang kembali kisah lama.


Pagi yang cerah, aku, Shazril, Nazri, dan Rahmat masih membuli Bill. Pagi itu sahaja aku sudah menyuruh Bill bersihkan kelas sedangkan hari itu aku yang bertugas.

            “Amir, hari inikan engkau yang bertugas! Kenapa kau suruh Bill yang buat? Semalam pun dia yang buat!” Ketua kelas memarahi aku kerana tidak bertugas. Sudah sebulan aku tidak bertugas. Semuanya Bill yang lakukan. Aku hanya mendiamkan diri.

            Pada waktu rehat, Shazril, Nazri, dan Rahmat dipanggil oleh cikgu Siti. Cikgu Siti meminta tolong mereka mengangkat kotak-kotak yang mengandungi buku baru ke perpustakaan. Jadi, hanya tinggal aku dan Bill di bawah pokok. Pokok rendang ini selalu menjadi destinasi aku sewaktu rehat sejak aku berpindah ke sekolah ini. Berteduh di bawah pokok ini redup dan tenang.

            “Amir, kenapa awak suka buli saya?” Aku terkejut. Lantas aku mengangkat kepala merenung ke matanya. Sayu. Kasihan Bill.

            “ Kenapa?”

            “ Yalah, awak asyik buli saya, suruh saya buat itu…buat ini, tapi saya tidak tahu apa salah saya.” Aku melihat Bill hampir menangis.

            “ Kenapa? Kau sudah penat ke? Kalau sudah penat kena buli, baik kau jangan kawan dengan aku lagi. Aku tak nak tengok muka kau lagi,” balasku tanpa melihat raut wajahnya. Aku tidak tahan. Aku mudah bersimpati kalau melihat orang lain menangis.

            “ Tapi Amir, saya suka berkawan dengan awak. Awak banyak  tolong saya. Lagipun, awak saja kawan saya.”

             Kan saya suka buli awak, tidak serik?”

            “ Saya tidak kisah.” Bill menjawab setelah lama berfikir. Dia menundukkan wajahnya ke tanah. Tangannnya yang memegang sebatang ranting mengotes-ngotes tanah.

            “ Kalau kau tidak kisah nanti lagi teruk kau aku buli, mahu?” Keningku terangkat. Bill hanya mendiamkan diri. Rantingnya dipatah-patahkan. Matanya merenung jauh di hadapan tapi fikirannya entah ke mana. Mungkin memikirkan nasibnya di sekolah baru ini.

            Loceng berbunyi menandakan waktu rehat tamat. Aku dan Bill melangkah menuju ke kelas. Masing-masing membisu. Aku keliru sama ada apa yang aku lakukan ke atas Bill ini satu dendam atau aku suka melihat orang lain kesusahan. Tidak adil sekiranya aku membalas dendam ke atas Bill sedangkan aku baru mengenalinya. Aku menjadi semakin keliru. Bingung.


             Aku datang awal ke sekolah pada keesokan harinya. Melihatkan rakan-rakanku dan Bill masih belum tiba, aku duduk di bawah pokok ketapang. Fikiranku melayang memikirkan apa yang Bill katakan semalam. Ada betulnya kata Billl itu. Tapi, kubu keegoanku dapat menghalang  perasaanku daripada ditakluki rasa simpati. Aku tidak dididik untuk berdendam dengan orang lain. Aku dididik untuk saling menyayangi, menghormati,memahami, bekerjasama sesama rakan. 
 

              Namun yang dididik itu tidak cukup tajam untuk membolosi semua tembok kebongkakkanku. Bongkak dengan kesilapan yang dilakukan. Angkuh dengan dosa yang dibuat walaupun mempunyai sembilan akal untuk berfikir yang mana baik…yang mana buruk…yang mana jahat…yang mana baik.


                Hari ini cuaca amat terik. Kalau sekali-sekala pekena air batu campur mesti sedap. Tapi pagi tadi hujan sekejap. Ibu terpaksa menghantar aku ke sekolah. Kebiasaannya aku, Shazril, Nazri dan Rahmat bersama-sama menunggang basikal menuju ke sekolah. Mereka bertiga tidak dapat hadir ke sekolah.

               Mungkin mereka masih nyenyak diselubungi selimut tebal. Pada waktu balik, aku menunggu ibuku di pondok bas belakang sekolah. Semua pelajar sudah pulang.

Namun ibuku masih belum kelihatan. Aku melihat Bill baru keluar dari pintu pagar sekolah. Dia berjalan pantas menuju ke arah pondok bas dengan keadaan terhuyung-hayang. Bibirnya masih sempat mengukir sekuntum senyuman mesra.

            “ Amir, kau tunggu siapa? Kenapa kau tidak naik bas?”

            “ Aku tunggu mak aku. Aku tidak cukup duitlah nak naik bas…” aku menjawab sambil mengengsot sedikit memberi ruang untuk Bill duduk.
.
            “ Amir kau tinggal di perumahan Indah, kan? Aku pernah nampak kau kat rumah kau,” Bill cuba mendapatkan kepastian.

           
             “ Pandailah kau ni,” aku cuba berdalih. Setahu aku Bill tidak pernah ke rumah aku. Aku tidak pernah nampak Bill keluar rumah waktu petang.

            “ Ya…. hari itu aku nampak kau di halaman rumah,” aku hanya mengangguk kecil.

            “ Kalau macam itu, marilah kita jalan kaki sama-sama.”

            “ Jalan kaki? Kan panas. Lagipun aku tengok kau macam tidak sihat saja. Kau jalan terhuyung-hayang. Masih boleh berjalan lagi ke..?”

            Bill menyengih. Dia mula mengangkat punggungnya sambil menanti giliran aku untuk bangun pula. Aku teragak-agak untuk bangun dan berjalan kaki dengan Bill di waktu panas terik ini. Memikirkan yang perut aku asyik berkeroncong daripada tadi aku terus melangkah bersama Bill. Bill hanya tersenyum. Masing-masing menyepi. Cuaca ini mengunci peti suara kami.

           Hampir di pertengahan jalan, tiba-tiba Bill menarik lenganku. Aku melihat Bill hampir sujud ke bumi. Aku berusaha memegang tangannya agar tidak jatuh. Apakan daya, rebah juga badannya ke bumi. Aku panik. Tidak  tahu apa yang harus aku lakukan. Aku menampar-nampar pipi Bill dan merenjiskan air jarang bekalan Bill ke mukanya. Tidak juga sedar. Apa yang harus aku lakukan. Panik. Semuanya jadi tidak betul. Hampir sepuluh minit aku mencari jalan, tiba-tiba sebuah kereta berhenti di bahu jalan.

            “ Amir, kenapa dengan Bill?”

            Aku tidak mampu menjawab. Aku melihat ayahku mengangkat masuk Bill ke dalam kereta. Hatiku yang berdegup kencang berselang-seli dengan muzik perutku, dipujuk dengan ayat-ayat suci dan aku berdoa agar tiada apa-apa kemungkinan buruk yang berlaku ke atas Bill. Kereta ayah memasuki perkarangan Hospital Sultanah Aminah. Bill dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi.

            Ayah bertanyakan tentang nombor telefon Bill. Dia menyuruh aku menghubungi keluarga Bill dan memberitahu keadaan  Bill yang sebenar. Aku menelefon ibu dan meminta ibuku memaklumkan kepada kedua-dua ibubapa Bill. Aku tidak tahu nombor telefon Bill. Jadi aku utuskan berita itu melalui ibuku.

              Kebetulan rumah Bill selang dua buah dengan rumahku. Lagipun ibuku rapat dengan ibu Bill. Petang itu, kedua-dua ibubapa Bill tiba di hospital. Hari hampir gelap. Sudah satu jam Bill di dalam bilik rawatan, namun apa-apa berita masih 
belum diketahui. Ibu Bill menangis risaukan keadaan Bill. Bill satu-satunya anak pasangan cina itu.

            “ Amir, macam mana anak auntie?” terkejut aku. Bagaimana ibunya tahu nama aku. Adakah Bill menceritakan segala-galanya kepada ibunya? Tentang aku membulinya. Tentang aku menggunakannya untuk menyiapkan kerja sekolah. Tentang aku selalu menyuruhnya mengemas kelas sedangkan itu tugas aku. Tentang aku yang mengajaknya ke pusat membeli-belah sehingga petang. Tentang segala-galanya. Takut, gelisah menyelubungi hatiku. 

            “ Di…a ada…di…bilik…Unit Rawatan Rapi. Err...auntie…”

            Auntie Mary…”

            “ Err…auntie Mary tidak perlu risau. Doktor sedang memeriksa keadaan Bill.”

            “ Macam mana semua ini boleh berlaku, Amir?”

            Panjang lebar aku menceritakannya. Ayah hanya menganggukkan kepalanya. Mungkin senang dengan sikapku yang berterus-terang.

            “ Amir, Bill ada beritahu apa-apa tak tentang dia ?”

            “ Beritahu? Beritahu apa auntie?” Aku ketakutan. Mungkin Bill ada cerita tentang sikap aku, dan auntie Mary menyuruhnya berhenti daripada berkawan denganku. Mungkin juga Bill selalu mengadu pada ibunya yang dia  terlalu penat untuk mengikut kemahuanku. Boleh jadi juga.

            “ Tidak ada apa-apa. Kita dengar apa yang doktor katakan nanti,” auntie Mary menggelengkan kepalanya. Masing-masing merantai suara dengan rasa bimbang. Tiba-tiba pintu dari bilik rawatan rapi terbuka. Seorang doktor lelaki yang kuanggarkan lingkungan 40-an keluar dan berhenti seketika mencari ahli keluarga Bill.

            “ Doktor macam mana dengan keadaan Bill?” Auntie Mary terus meluru ke  arah doktor itu bertanyakan keadaan Bill. Air suamnya mula membasahi pipi, deras.

            “ Sabar, cik. Makcik dan pakcik ini ibu bapa Bill, kan?” Saya ada sesuatu yang hendak diberitahu. Sila ikut saya. Kita bincang di dalam bilik saya.”

Ibu bapa Bill menganggukkan kepala dan mula membuntuti doktor. Doktor Naim. Aku sempat melihat tag namanya ketika dia sedang berbual dengan ibu dan ayah Bill.


Hari-hari berlalu begitu sahaja. Bill terpaksa berehat di rumah selama satu minggu setelah keluar dari hospital. Hatiku meronta-ronta ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku. Semasa aku melawat Bill di rumahnya, dia kelihatan
sihat. Jadi apa sebenarnya yang terlalu serius sehingga doktor menyuruh auntie dan uncle berbincang di biliknya. Sehingga Bill perlu membuat pemeriksaan tiga bulan sekali.
           
Auntie Mary, Bill sakit apa?”

            Itulah soalan yang selalu kutanya. Auntie Mary akan tersenyum sahaja. Pelik. Gembirakah dia melihat Bill sakit? Atau sekadar hendak menyedapkan hati aku? Selepas sebulan Bill dikeluarkan daripada hospital aku bersama-sama Shazril, Nazri, dan Rahmat bercadang untuk ke rumah Bill untuk menyiapkan kerja sekolah bersama-sama. Hari minggu begini ibu dan ayah Bill tidak bekerja.


               Sejak peristiwa Bill pengsan itu, hatiku berubah. Simpatiku akhirnya berjaya meruntuhkan tembok keegoanku. Aku tidak lagi menganggap orang Cina ini jahat. Aku sendiri pernah berkata dengan ayahku bahawa bukan semua orang melayu itu jahat. Jadi samalah bahawa bukan semua orang Cina itu jahat.


Lima tahun telah berlalu, saat terkenangkan kisah ini, air jernih ini tidak jemu untuk mengalir demi insan yang bernama Bill. Atau nama islamnya, Nur Hakim Abdullah. Nur Hakim telah empat tahun kembali ke rahmatullah terlebih dahulu kerana menghidapi barah otak. Semoga Nur Hakim di tempatkan bersama-sama orang yang beriman. Amin.
           
            Aku telah belajar bahawa perpaduan itu penting kerana tanpa bersatupadu rakyat mungkin tidak akan berjaya. Dengan bantuan uncle Chandran aku berjaya melanjutkan pelajaranku hingga ke United KingdomDorongan dan semangat yang diberikan oleh ibubapa Bill dan uncle Lim, aku tidak  akan aku lupakan. Mereka telah menganggap aku sebagai anak mereka. Kedua-dua ibu bapaku juga banyak membantu sehingga aku bergelar doktor. Kami selalu berkumpul bersama-sama untuk menyambut perayaan Depavali, Hari Raya dan Tahun Baru Cina walaupun tanpa kehadiran Bill.

PENULIS : ZULAIKHA KAMAL
CATATAN : CERPEN INI TELAH MEMENANGI SAGUHATI DALAM SAYEMBARA CERPEN PERPADUAN ( REMAJA ) 2007

1 comment:

  1. Bestttt. Awakkkk, macam mana eh, awk boleh buat post yg byk kat satu pages ni?

    ReplyDelete

12 897 orang suka baca cerita aku :

Kepada VIP's Blog CORNER MUSLIMAH yang dihormati,


Aku atau bhs s0pannye.."saya' nak ucapkan terima kasih bebanyak sebab sudi melawat and be my follower. Juga, saya ingin memohon maaf andai terkasar bhse, or tercuit hati, terpukul jiwa, ter...err..ter ape lg ekk?? ape pun, mohon maaf lah ye..maafkan tau..you r my fren, hehehe. Hanya Allah yang dapat balas jasa VIPku ini kerana melawat blog yg emmm...yg ape? emm..pandai2 la VIPku menilainye ye..hehe..tQ!! & <3 u all!!